NFK Prima Farm Membangun Selepas Lalui Kegagalan



Kegagalan pertama kali menternak kambing tidak menghalang seorang pemuda dari Kampung Tebakang, Bukit Payong, Kamaruddin Mohamad untuk terus berusaha menjadi seorang penternak yang berjaya di negeri ini.
Kamaruddin,36, yang pernah bekerja makan gaji, mula menternak kambing pada 2010 dengan membeli beberapa ekor kambing kampung dan menternak berhampiran rumahnya sebagai memenuhi minat beliau.
"Saya mula menternak kambing bermula 2010, ketika itu saya baru sahaja berhenti bekerja dengan sebuah syarikat. Berbekalkan wang simpanan sebanyak RM8,000 saya gunakan wang itu untuk membina sebuah kandang dan membeli tujuh ekor kambing untuk meneruskan minat saya itu.
"Bagaimanapun, oleh kerana kurang pengalaman menternak kambing, kebanyakan kambing itu mati. Selepas tiga tahun menternak saya mengambil keputusan untuk menjual semua kambing yang ada kerana usaha yang saya lakukan itu tidak mendatangkan hasil yang baik dan saya mengalami kerugian," katanya.
Namun, Kamarudin berkata, dia tidak berputus asa dengan kegagalan itu kerana itulah beliau bertekad untuk mencuba semula dan menggunakan pengalaman yang ada untuk meneruskan cita-cita untuk menjadi penternak yang berjaya.

"Bermula 2014, saya menjual semua kambing yang ada untuk dijadikan modal tambahan dengan membeli beberapa ekor kambing pedaging dari jenis boer dan jamnapari. Alhamdulillah pada 2015 jumlah kambing saya mencecah 70 ekor, hasil pendapatan dari jualan kambing itu saya jadikan modal untuk membina sebuah lagi kandang dan membeli 10 ekor kambing tenusu bernilai hampir RM4,000," katanya.
Menurut Kamarudin, kini dia mempunyai rumah sembelih, stor dan pejabat sendiri dan mendaftar ladang kambingnya itu dengan nama NFK Prima Farm yang membekalkan kambing pedaging, kambing pembaka, kambing segar dan susu kambing asli ke seluruh negeri.
"Insya Allah, jika ada rezeki saya akan membesarkan perniagaan saya ini dan mahu menjadi pembekal produk saya ke seluruh Pantai Timur suatu hari nanti, segala perancangan sudah pun saya atur, selain itu, saya juga mahu membantu mereka yang berminat untuk menjadi penternak kambing bagi membangunkan industri penternakan kambing di negeri ini,"katanya.

Sumber : Fb theimantribune

About Unknown

0 comments:

Post a Comment