KUALA TERENGGANU: Penularan wabak penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini mencetuskan kebimbangan apabila melepasi tahap amaran yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mohamad Omar, berkata kes terbaru membabitkan 14 bayi berusia lapan hingga 11 bulan yang ditempatkan di Taska Permata Keluarga Batu Buruk, di sini.
Beliau berkata, kes HMFD di Terengganu mencatat peningkatan ketara bermula Mei lalu dan berterusan sehingga Ogos dengan kes tertinggi direkodkan di Setiu.
"Kes terbaru itu menjadikan jumlah wabak HMFD di Terengganu meningkat kepada 10 dan sembilan daripadanya berlaku di Taska Permata Keluarga.
"Oleh itu, kita sudah mengarahkan taska berkenaan ditutup selama 10 hari bagi menjalankan pemeriksaan dan melakukan proses pembersihan yang menyeluruh di premis terbabit," katanya selepas pemeriksaan JKNT di Taska Permata Batu Buruk, pagi tadi.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Ramlah Idris. Mohamad berkata, sebanyak 401 kes HMFD dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga 20 Ogos lalu berbanding 147 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 172.8 peratus.
"Selain itu, jumlah wabak juga meningkat dengan mendadak iaitu dari sembilan episod wabak tahun lalu kepada 59 episod bagi tempoh sama tahun ini.
"Daerah Setiu mencatat kes tertinggi iaitu 73 kes diikuti Kuala Terengganu dan Dungun (70), Marang (60), Kuala Nerus (43), Hulu Terengganu (33), Besut (29) dan Kemaman (23)," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa lebih mengambil berat dan mengamalkan kebersihan terhadap anak-anak bagi mengelakkan dijangkiti.
"Saya juga nak ingatkan ibu bapa supaya segera membawa anak-anak mereka yang mempunyai gejala HMFD ke klinik dan jangan sekali-kali menghantar mereka ke taska atau pusat jagaan kerana boleh memudaratkan orang lain.
"Kita juga sudah mengarahkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan di pintu masuk sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis," katanya.

0 comments:
Post a Comment