Masih ingatkah di hujung tanjung Seberang Takir ini deretan 'rang rang' buluh di tebing sungai, tempat bilis dan ikan ikan kering beraneka bersusun rapi di jemuran.
Suatu ketika dahulu gambar pemandangan seumpama itu sering menghiasi majalah-majalah tempatan dan poskad.
Kini perusahaan yang sudah kian berkurang justeru dimamah zaman, namun masih ada yang mewarisinya, biarpun kini tinggal seorang dua sahaja meneruskannya di muara selatan itu.
"Memang saya minat dengan tugas dan perusahaan memproses dan menjual bilis ini,' kata
Mohd Aimy Sharil yang baru berusia belasan tahun.
Mohd Aimy Sharil yang baru berusia belasan tahun.
Mewarisi keluarganya, beliau menyambung perusahaan tradisi membuat bilis dan belacan ini dari ayahnya yang kini sudah berusia emas.
Ketika ditemui di tapak perusahaannya di hujung tanjung Seberang Takir, remaja ini menyatakan bilis-bilis mentah direbus dan dijemur dengan menggunakan lebih kurang lima atau enam orang pekerja mengikut keperluan bekalan yang diperolehi.
Pada masa ini katanya, bilis bilis mentah dibeli dari nelayan pukat jerut yang mendarat di pinggir kuala atau muara itu.
Menurutnya, musim bilis di sini bermula Mac hingga Mei dan Ogos hingga November setiap tahun.
Pada masa ketiadaan bekalan bilis mentah di Terengganu, beliau terpaksa membeli dari pengusaha dari Kelantan untuk memenuhi kehendak pelanggan, terutama melanggan untuk membuat dan menjual nasi lemak.
Mengenai harga, adik Mohd Aimy berkata antara RM18 hingga RM20, bahkan RM30 sekilo bergantung kepada saiz bilis.
Makin kecil saiznya, makin tinggi harganya, kata beliau yang memasarkan ikan bilis yang diusahakan itu keseluruh Terengganu termasuk di pasar pasar utama.
Katanya, jualan bilis kering yang diusahakan itu pada masa ini mencecah 100 hingga 200 kilo sehari.
"Walau bagaimanapun saya juga menjualnya secara runcit untuk satu atau dua kilo," kata pengusaha muda itu yang boleh di hubungi melalui talian 014 5443891.
Bilis putih yang menjadi pilihan kerana lebih lembut dan enak dimakan, berbanding bilis hitam atau bilis baral, kata ayahnya Sharil, berusia 70an selaku penasihat kepada anaknya yang turut berada di tempat pemprosesan bilis itu.
Walaupun sudah berusia, beliau sering mengambil kesempatan datang menjenguk perusahaan bilis oleh anak bongsunya itu.
Jauh di sudut hatinya untuk melihat anaknya Mohd Aimy berjaya dengan lebih tinggi lagi meneruskan perusahaan yang kian kurang dijalankan lagi, berbanding dahulu.
Beliau gembira kerana anaknya kini telah memiliki bilik sejuk untuk menyimpan bilis bilis yang siap diproses sebelum dijual.
"Walaupun diproses cara lama menggunakan kawah besar dan dijemur di bawah cahaya matahari, saya berasa amat gembira sekali kerana perusahaan ini terus diwarisi, " ternyata warga emas ini cukup bahagia kerana anaknya yang masih muda itu mewarisi perusahaan yang dijalankan olehnya sebelum ini sejak tahun 1970 an lagi.
Menjelang Tahun Melawat Terengganu TMT 2017, pelancong boleh menaiki bot penambang dari belakang Pasar Kedai Payang untuk ke tempat perusahaan yang masih relevan untuk dilawati pelancong dan membeli terus dari 'rang' jemurannya.
Sumber : Fb ImanTribune
0 comments:
Post a Comment