Kerajaan negeri melalui Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) akan menganjurkan Sidang Dewan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata), esok, bermula 9.30 pagi, di Wisma Darul Iman.
Ahli Lembaga TSIS, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, sidang tersebut akan mengumpulkan pemimpin Permata dari seluruh negeri untuk diberi pengalaman kepada mereka.
Wan Abdul Hakim berkata, perjalanan persidangan itu akan mengikuti format sama seperti Sidang DUN yang berlangsung pada hari ini.
“Seramai 32 peserta akan terlibat langsung untuk berbahas sesama mereka. Ada yang akan mewakili kerajaan dan ada yang akan mewakili pembangkang.
“Isu-isunya akan disimulasikan sama sebagaimana dalam dewan sebenar. Manakala, Dato’ Mohd Zubir Embong sendiri akan menjadi Yang Dipertua Dewan untuk sidang esok cuma Setiausaha Dewan kita akan tukarkan kepada pegawai-pegawai TSIS,” katanya yang ditemui selepas tamat Sidang DUN Terengganu, hari ini.
Tambahnya, sebelum ini TSIS pernah menganjurkan sidang secara mini dan tidak sepenuhnya mengikut format sebenar persidangan DUN.
Wan Abdul Hakim yang juga ADUN Air Putih menambah, sidang itu juga untuk memberi ruang kepada bakal-bakal pemimpin negeri mengetengahkan bakat dan ciri kepimpinan selain mencari pengalaman cara bersidang mengikut format sebenar.
“Untuk esok, kita akan simulasikan perbahasan, titah perintah ucapan terima kasih serta titah perintah ucapan Tuanku Sultan.
“Ini merupakan salah satu latihan yang dipanggil sebagai talent management bagi memastikan susur galur kepimpinan negeri Terengganu berterusan. Jadi kita bagi ruang-ruang dan cari pemimpin-pemimpin pelajar ini untuk diketengahkan bakat mereka,” katanya.
Sumber : Terengganudaily.com

0 comments:
Post a Comment